KONSEP NILAI DAN PERPADUAN MASYARAKAT MALAYSIA
Monday, October 19, 2015
Kesimpulan
Kesimpulannya, perpaduan kaum
merupakan elemen yang penting dan harus diberi perhatian kerana pemupukan
hubungan etnik antara masyarakat adalah amat penting bagi negara kita yang
bermasyarakat majmuk serta menjamin kestabilan ekonomi dan politik negara.
Hubungan kaum yang harmoni adalah
kunci kepada kemajuan dan kestabilan negara. Bagi mencapai kemajuan, negara
memerlukan rakyat yang dedikasi dan komited untuk melaksanakan tugas dan
tanggungjawab masing-masing.
Justeru, masyarakat perlu saling
memahami dan menghayati lapan nilai 1Malaysia iaitu budaya kecemerlangan,
ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan
integriti.
Malaysia pada masa sekarang
berada dalam proses pembangunan yang akan menghadapi pelbagai cabaran dan
rintangan global yang besar. Dengan itu, negara kita amat memerlukan kesatuan
dari semua golongan masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa.
Sebarang kesangsian, kecurigaan
dan ketidakpuasan hati antara kaum yang diterjemahkan secara berlebihan hanya
akan mewujudkan ketidakstabilan dan persengketaan dan akhirnya merugikan negara
kita sendiri dan membazirkan usaha-usaha yang telah diusahakan oleh
pemimpin-pemimpin dahulu.
Langkah-Langkah Bagi Mengatasi Ketidakharmonian Antara Kaum
Sepanjang sejarah selepas
kemerdekaan, isu bagi mewujudkan hubungan harmoni antara kaum telah menjadi isu
yang tiada titik noktah. Kerajaan telah mewujudkan pelbagai dasar ke arah
pembentukan integrasi nasional.
Antara dasar–dasar dan pelan
tindakan khas kerajaan ialah Dasar Ekonomi Baru (DEB) 1971 – 1990 dan Dasar
Pembangunan Negara (DPN) 1991 – 2000, Dasar Wawasan Negara dan juga Program 1
Malaysia.
Dasar Ekonomi Baru (DEB)
1971-1990 merupakan dasar yang diperkenalkan oleh Tun Abdul Razak semasa
berlakunya rusuhan kaum 13 Mei 1969. Dalam waktu yang membimbangkan ini, punca
tercetusnya perusuhan itu dikesan dan langkah mengatasinya telah diambil.
Penggubalan dasar ini bertujuan untuk mencapai perpaduan negara dengan
memperbetulkan ketidakseimbangan sosio – ekonomi antara kaum dan wilayah.
Ia juga diwujudkan untuk
mempertingkatkan penglibatan kaum bumiputera dalam bidang perniagaan dan
perusahaan sebagai usaha untuk membasmi perasaan tidak puas hati dalam
masyarakat. Bagi mengukuhkan perpaduan di kalangan rakyat, usaha diteruskan
lagi dengan pelancaran dasar pembangunan nasional pada 17 Jun 1991. Dasar
tersebut meneruskan pencapaian DEB dalam pembasmian kemiskinan dan penyusunan
semula masyarakat.
Objektifnya ialah untuk membina
sebuah negara yang bersatu padu dan mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih
adil, maju, aman dan makmur berasaskan prinsip-prinsip perlembagaan dan rukun
negara.
Dasar Wawasan Negara (2001-2010) atau
dikenali sebagai Wawasan 2020 merupakan usaha kerajaan untuk mengembangkan
ekonomi, sosial dan politik pada peringkat nasional dan antarabangsa serta
menitikberatkan pembangunan menyeluruh dan meliputi aspek-aspek politik,
ekonomi, sosial, kerohanian, kejiwaan dan kebudayaan. Menjelang tahun 2020,
Malaysia diharapkan mampu menjadi sebuah negara yang bersatu padu di mana
masyarakat Malaysia mempunyai nilai moral dan etika yang utuh, penyayang, adil
dan saksama, berkeyakinan serta mampu bersaing.
Konsep 1Malaysia telah
diperkenalkan oleh Datuk Seri Mohd Najib pada 3 April 2009. Konsep 1 Malaysia
ini memberi aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat
Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. Konsep ini juga akan
mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan
rakyat sebagaimana slogan Perdana Menteri iaitu “Rakyat Didahulukan, Pencapaian
Diutamakan.”
Untuk mencapai kemajuan bagi
negara,sikap penerimaan antara kaum membawa kepada perpaduan yang utuh perlu
diamalkan. Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara akan
berjalan dengan lebih lancar. Persefahaman kaum juga dapat dipupuk secara
berkesan menerusi pendidikan. Antara langkah yang dilakukan ialah dengan
penubuhan sekolah wawasan. Sekolah wawasan merupakan tempat yang terbaik untuk
memulakan proses integrasi antara kaum.
Sekolah wawasan menyediakan ruang
dan peluang untuk murid-murid pelbagai kaum berinteraksi secara langsung kerana
mereka berkongsi kantin, padang permainan, dewan dan kemudahan lain di sekolah.
Mereka berpeluang untuk saling mengenali dan memahami antara satu sama lain.
Dengan itu, mereka akan membesar dengan sikap toleransi dan hormat terhadap
budaya dan agama kaum lain. Tegasnya, sekolah wawasan mampu memupuk persefahaman
kaum dan seterusnya mempercepat integrasi nasional.
Selain itu, pelaksanaan Program
Latihan Khidmat Negara (PLKN) juga mampu mewujudkan keharmonian rakyat serta
negara. PLKN dapat memupuk perpaduan nasional. Melaluinya, remaja pelbagai kaum
akan ditempatkan bersama di bawah satu bumbung. Mereka akan bekerjasama untuk
menjalankan aktiviti bersama-sama, berinteraksi dan bergaul mesra.
Dengan itu, mereka akan terdedah
kepada corak hidup masyarakat majmuk Malaysia secara mendalam. Persefahaman
yang lebih erat akan memupuk perasaan kekitaan. Selain daripada kerajaan yang
bertanggungjawab mengekalkan keharmonian negara, masyarakat sendiri perlu turut
memikul peranan penting dalam menjamin keharmonian negara berkekalan.
Media massa merupakan satu
saluran yang dapat menyampaikan mesej kepada orang ramai dengan efisien. Media
massa boleh dikategorikan kepada dua jenis iaitu media cetak dan media
elektronik. Menurut L. John Martin, media massa merujuk kepada alat yang
mewujudkan interaksi sosial, politik, dan ekonomi dalam ukuran yang lebih
moden. Media dapat menyampaikan maklumat dan mendidik masyarakat serta menjadi
medium perantaraan dalam sesuatu masyarakat (Vir Bala Aggarwal, 2002: xvii).
Oleh itu, media memainkan peranan yang amat penting bagi memperbaiki hubungan
antara kaum yang menjadi semakin buruk ini.
Media cetak seperti surat khabar,
majalah dan buku membantu menyedarkan maklumat kepada masyarakat. Dengan
memaparkan info mengenai sejarah, ciri-ciri kebudayaan dan agama kaum yang
terdapat di dalam Negara kita dalam ruangan akhbar, orang ramai dapat
mengetahui dan memahami perbezaan antara satu sama lain. Justeru, rasa
hormat-menghormati antara satu sama lain akan ditimbulkan dalam hati setiap
individu.
Di samping itu, media elektronik
seperti televisyen, radio, laman web dan lain-lain juga merupakan satu
peralatan yang dapat menyebarkan maklumat kepada orang ramai dengan mudah.
Media elektronik memainkan peranan dengan menayangkan iklan-iklan yang boleh
memupuk semangat perpaduan di kalangan masyarakat. Sebagai contohnya, kempen–kempen
yang ingin dijalankan oleh kerajaan untuk memupuk semangat perpaduan haruslah
dibantu oleh media elektronik kerana saluran ini adalah alat yang berkesan
dalam penyampaian maklumat pada zaman teknologi yang canggih ini. Peranan ini
membolehkan orang ramai melibatkan diri dalam kempen berkenaan dan seterusnya
dapat merealisasikan hasrat kerajaan bagi menanam semangat perpaduan.
Subscribe to:
Posts (Atom)