Monday, October 19, 2015

Langkah-Langkah Bagi Mengatasi Ketidakharmonian Antara Kaum


Sepanjang sejarah selepas kemerdekaan, isu bagi mewujudkan hubungan harmoni antara kaum telah menjadi isu yang tiada titik noktah. Kerajaan telah mewujudkan pelbagai dasar ke arah pembentukan integrasi nasional.

Antara dasar–dasar dan pelan tindakan khas kerajaan ialah Dasar Ekonomi Baru (DEB) 1971 – 1990 dan Dasar Pembangunan Negara (DPN) 1991 – 2000, Dasar Wawasan Negara dan juga Program 1 Malaysia.

Dasar Ekonomi Baru (DEB) 1971-1990 merupakan dasar yang diperkenalkan oleh Tun Abdul Razak semasa berlakunya rusuhan kaum 13 Mei 1969. Dalam waktu yang membimbangkan ini, punca tercetusnya perusuhan itu dikesan dan langkah mengatasinya telah diambil. Penggubalan dasar ini bertujuan untuk mencapai perpaduan negara dengan memperbetulkan ketidakseimbangan sosio – ekonomi antara kaum dan wilayah.

Ia juga diwujudkan untuk mempertingkatkan penglibatan kaum bumiputera dalam bidang perniagaan dan perusahaan sebagai usaha untuk membasmi perasaan tidak puas hati dalam masyarakat. Bagi mengukuhkan perpaduan di kalangan rakyat, usaha diteruskan lagi dengan pelancaran dasar pembangunan nasional pada 17 Jun 1991. Dasar tersebut meneruskan pencapaian DEB dalam pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat.

Objektifnya ialah untuk membina sebuah negara yang bersatu padu dan mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih adil, maju, aman dan makmur berasaskan prinsip-prinsip perlembagaan dan rukun negara.

Dasar Wawasan Negara (2001-2010) atau dikenali sebagai Wawasan 2020 merupakan usaha kerajaan untuk mengembangkan ekonomi, sosial dan politik pada peringkat nasional dan antarabangsa serta menitikberatkan pembangunan menyeluruh dan meliputi aspek-aspek politik, ekonomi, sosial, kerohanian, kejiwaan dan kebudayaan. Menjelang tahun 2020, Malaysia diharapkan mampu menjadi sebuah negara yang bersatu padu di mana masyarakat Malaysia mempunyai nilai moral dan etika yang utuh, penyayang, adil dan saksama, berkeyakinan serta mampu bersaing.
Konsep 1Malaysia telah diperkenalkan oleh Datuk Seri Mohd Najib pada 3 April 2009. Konsep 1 Malaysia ini memberi aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. Konsep ini juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat sebagaimana slogan Perdana Menteri iaitu “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.”

Untuk mencapai kemajuan bagi negara,sikap penerimaan antara kaum membawa kepada perpaduan yang utuh perlu diamalkan. Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar. Persefahaman kaum juga dapat dipupuk secara berkesan menerusi pendidikan. Antara langkah yang dilakukan ialah dengan penubuhan sekolah wawasan. Sekolah wawasan merupakan tempat yang terbaik untuk memulakan proses integrasi antara kaum.

Sekolah wawasan menyediakan ruang dan peluang untuk murid-murid pelbagai kaum berinteraksi secara langsung kerana mereka berkongsi kantin, padang permainan, dewan dan kemudahan lain di sekolah. Mereka berpeluang untuk saling mengenali dan memahami antara satu sama lain. Dengan itu, mereka akan membesar dengan sikap toleransi dan hormat terhadap budaya dan agama kaum lain. Tegasnya, sekolah wawasan mampu memupuk persefahaman kaum dan seterusnya mempercepat integrasi nasional.

Selain itu, pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) juga mampu mewujudkan keharmonian rakyat serta negara. PLKN dapat memupuk perpaduan nasional. Melaluinya, remaja pelbagai kaum akan ditempatkan bersama di bawah satu bumbung. Mereka akan bekerjasama untuk menjalankan aktiviti bersama-sama, berinteraksi dan bergaul mesra.

Dengan itu, mereka akan terdedah kepada corak hidup masyarakat majmuk Malaysia secara mendalam. Persefahaman yang lebih erat akan memupuk perasaan kekitaan. Selain daripada kerajaan yang bertanggungjawab mengekalkan keharmonian negara, masyarakat sendiri perlu turut memikul peranan penting dalam menjamin keharmonian negara berkekalan.

Media massa merupakan satu saluran yang dapat menyampaikan mesej kepada orang ramai dengan efisien. Media massa boleh dikategorikan kepada dua jenis iaitu media cetak dan media elektronik. Menurut L. John Martin, media massa merujuk kepada alat yang mewujudkan interaksi sosial, politik, dan ekonomi dalam ukuran yang lebih moden. Media dapat menyampaikan maklumat dan mendidik masyarakat serta menjadi medium perantaraan dalam sesuatu masyarakat (Vir Bala Aggarwal, 2002: xvii). Oleh itu, media memainkan peranan yang amat penting bagi memperbaiki hubungan antara kaum yang menjadi semakin buruk ini.

Media cetak seperti surat khabar, majalah dan buku membantu menyedarkan maklumat kepada masyarakat. Dengan memaparkan info mengenai sejarah, ciri-ciri kebudayaan dan agama kaum yang terdapat di dalam Negara kita dalam ruangan akhbar, orang ramai dapat mengetahui dan memahami perbezaan antara satu sama lain. Justeru, rasa hormat-menghormati antara satu sama lain akan ditimbulkan dalam hati setiap individu.

Di samping itu, media elektronik seperti televisyen, radio, laman web dan lain-lain juga merupakan satu peralatan yang dapat menyebarkan maklumat kepada orang ramai dengan mudah. Media elektronik memainkan peranan dengan menayangkan iklan-iklan yang boleh memupuk semangat perpaduan di kalangan masyarakat. Sebagai contohnya, kempen–kempen yang ingin dijalankan oleh kerajaan untuk memupuk semangat perpaduan haruslah dibantu oleh media elektronik kerana saluran ini adalah alat yang berkesan dalam penyampaian maklumat pada zaman teknologi yang canggih ini. Peranan ini membolehkan orang ramai melibatkan diri dalam kempen berkenaan dan seterusnya dapat merealisasikan hasrat kerajaan bagi menanam semangat perpaduan.

No comments:

Post a Comment