Malaysia merupakan sebuah negara berdaulat yang didokong
oleh gabungan masyarakat pelbagai kaum.
Keunikan masyarakat 1 Malaysia ialah sikap saling bertolak-ansur yang
diamalkan sejak laungan merdeka mewarnai bumi bertuah ini. Ironinya, simpulan perpaduan itu mula goyah
apabila terdapat campur tangan anasir-anasir jahat yang mempunyai agenda
sulit. Maka, masyarakat Malaysia perlu
segera celik akan kepentingan perpaduan kaum dan berusaha membenihkan semula
semangat bersatu teguh bercerai roboh agar terus bercambah serta menjadi
pegangan hidup.
Tidak dapat disangkal bahawa
masyarakat yang harmoni merupakan kesan perpaduan kaum yang utuh. Penerimaan adat dan budaya kaum lain
merupakan elemen penting dalam menjana perpaduan. Amalan ini mencetuskan rasa saling
menghormati dan sudah pasti setiap kaum akan mengelakkan sebarang insiden yang
boleh mengguris hati kaum yang lain.
Percampuran budaya yang tercetus hasil perkahwinan campur juga menjadi
bonus ke arah perpaduan antara kaum, sekaligus melahirkan masyarakat yang
harmoni di Malaysia. Sudah terang lagi
bersuluh bahawa perpaduan kaum yang teguh akan melahirkan masyarakat yang
harmoni.
Seterusnya, keharmonian yang
tercetus hasil daripada ikatan perpaduan yang erat mampu memajukan ekonomi
negara. Hal ini boleh dijelaskan melalui
peningkatan jumlah pelabur asing yang berminat untuk menjana perniagaan mereka
di Malaysia kerana persekitaran perniagaan yang aman pasti mendatangkan
keuntungan yang maksimum kepada mereka.
Jika jumlah pelaburan asing tinggi di Malaysia, peluang pekerjaan untuk
rakyat Malaysia akan terbuka luas.
Secara tidak langsung, bukan sahaja ekonomi negara meningkat secara
global tetapi ekonomi rakyat juga akan semakin rancak disebabkan
peluang-peluang yang menjelma. Hal ini
cukup membuktikan bahawa perpaduan kaum mampu meningkatkan ekonomi negara.
Perpaduan kaum yang utuh juga
memangkin kehidupan yang berkualiti sehingga menjadikan negara kita duduk sama
rendah, berdiri sama tinggi dengan negara lain.
Imej sebagai sebuah negara berbilang kaum yang sentiasa berpaksikan
perpaduan sentiasa menjadi buah mulut negara luar. Banyak negara yang kagum akan dasar-dasar
kerajaan yang berjaya mentransformasikan negara ke arah negara maju tanpa
meminggirkan nilai-nilai kemanusiaan terutamanya semangat perpaduan antara
kaum. Pengiktirafan Malaysia sebagai
penanda aras dalam memacu hubungan rakyat yang mesra merupakan satu tanda
penghargaan negara luar terhadap keistimewaan acuan kemajuan negara kita
sendiri. Jelaslah bahawa perpaduan kaum
menjadikan imej negara kita menarik pada pandangan masyarakat dunia.
Selain itu, asimilasi pelbagai
budaya rakyat Malaysia diterima sebagai satu budaya unik di bawah satu
bumbung. Hal ini menjadi satu elemen
menarik yang menggamit minat pelancong asing untuk datang bertandang dan
menyaksikan sendiri kehebatan bangsa 1 Malaysia. Rakyat Malaysia yang sudah terdedah dengan
konsep berkompromi selagi tidak mencuit isu sensitif berkaitan agama merupakan
rakyat yang ramah dan mesra serta mudah menerima kedatangan rakyat asing ke
dalam kelompok peribadi mereka. Jadi,
tidak hairanlah jika rakyat Malaysia yang bersatu padu sedia memberikan layanan
kelas pertama kepada pelancong yang datang untuk mengalami keunikan Malaysia.
Kesimpulannya, hidup berlandaskan
konsep bagai aur dengan tebing tanpa mengira kaum patut menjadi pegangan setiap
warga Malaysia. Usah biarkan sejarah 13
Mei 1969 yang berpunca daripada perbalahan kaum melakar dakwatnya untuk kali
kedua kerana kesan negatifnya sangat memeritkan. Bersama-samalah kita rakyat Malaysia berjuang
demi melahirkan bangsa Malaysia jenama baru yang sentiasa ikhlas bersatu.
No comments:
Post a Comment