Monday, October 19, 2015

Faktor-Faktor Berlakunya Ketidakharmonian Hubungan Antara Kaum



Terdapat faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya kenyataan di atas. Pertama sekali merupakan faktor sistem pendidikan yang berasingan.

Rakyat Malaysia terbahagi kepada tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India yang mempunyai bahasa ibunda yang berbeza dan sistem persekolahan yang tersendiri. Ini sekaligus memisahkan pelajar mengikut bahasa ibunda masing-masing. Misalnya, sekolah aliran kebangsaan akan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Justeru, majoriti kaum Melayu yang akan menuntut di sekolah Melayu. Situasi ini menyebabkan interaksi para pelajar yang berbeza kaum dengan kaum yang berlainan sangat-sangat terhad. Persefahaman antara satu sama lain juga tidak disampaikan dengan sepenuhnya. Tambahan pula, sejak kedatangan orang Cina ke Tanah Melayu pada abad ke-19, selain bertujuan untuk mencari kekayaan, orang Cina tidak lupa akan tanggungjawab sosial mereka iaitu mendidik kanak-kanak Cina agar mereka mewarisi bahasa dan budaya etnik Cina.

Justeru, penubuhan sekolah vernakular Cina menjadi satu agenda penting kepada mereka (Tan Yao Sua, 2005:65). Selain daripada itu, ibu bapa yang tidak yakin terhadap sekolah kebangsaan tetapi menghantar anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan yang merasakan struktur pendidikan tersebut dapat menjamin kecemerlangan akademik anak mereka juga menjauhi hubungan antara etnik.

Faktor yang kedua ialah keadaan politik di negara kita. Isu-isu mengenai bahasa, budaya, agama, kerakyatan dan ekonomi sering kali dijadikan isu oleh orang politik bagi tujuan tertentu. Teknik-teknik yang digunakan oleh orang politik berkenaan isu sensitif tersebut akan memberikan impak yang negatif kepada rakyat.

Setiap kaum akan cuba mempertahankan hak mereka bagi mendapatkan satu keadaan yang sama rata. Sebagai contoh, parti-parti politik tertentu cuba mengambil peluang untuk menimbulkan perasaan kurang senang hati di kalangan masyarakat dan seterusnya menyebarkan propaganda berkenaan isu perkauman. Di samping itu, perbezaan nilai antara etnik juga mengakibatkan hubungan antara kaum bertambah rumit. Setiap kaum mempunyai budaya, kepercayaan dan bahasa yang berlainan. Justeru, setiap kaum akan mengamalkan ciri-ciri yang kemudiannya menjadi identiti diri mereka. Persoalannya apabila identiti mereka dipersoalkan, kesejahteraan dan keamanan negara akan terancam.

Oleh itu, setiap etnik cuba mengambil keputusan bagi mengurangkan interaksi antara satu sama lain. Impaknya jurang hubungan antara kaum semakin membesar. Anggota etnik akan memilih etnik yang sama dengan mereka sebagai kawan mahupun rakan sekerja. Mereka mendapati sukar untuk mengadaptasikan diri dan menerima budaya etnik yang lain dan menganggapnya tidak akan memberi apa-apa faedah kepada mereka dalam kehidupan seharian.

           Sebagai contohnya, sesetengah pensyarah di IPTA terpaksa mengagihkan ahli kumpulan kerja kursus dengan memastikan setiap etnik terdapat dalam sesebuah kumpulan itu. Walaubagaimanapun, cara tersebut tidak memberikan kesan yang diingini kerana masalah komunikasi dan ketidakselesaan wujud di kalangan etnik. Masalah saling menyalahkan etnik-etnik tertentu akan wujud.

         British telah menempatkan kaum-kaum tertentu kepada sektor-sektor ekonomi yang berbeza semasa Tanah Melayu masih dijajah. Misalnya, kaum Melayu telah ditempatkan di sektor pertanian yang berada di luar bandar. Sektor tersebut memerlukan sumber tenaga fizikal dan berteknologi rendah. Bagi kaum Cina pula ditempatkan di sektor perdagangan atau perniagaan yang melibatkan teknologi tinggi. Manakala kaum India pula terlibat dengan perladangan di estet getah dan kelapa sawit. Agihan tersebut mengakibatkan jurang pendapatan antara kaum semakin ketara dan tidak seimbang.

    Kaum Melayu dan India akan berhadapan dengan kemiskinan manakala kaum Cina akan terus mencari peluang-peluang perniagaan bagi mengukuhkan kemewahan mereka. Perasaan tidak puas hati di antara etnik akan wujud. Justeru, ini akan menyebabkan etnik-etnik berusaha untuk mempertahankan hak-hak mereka serta kesaksamaan. Proses mempertahankan hak tersebut akan merosakkan hubungan kaum kerana masing-masing mahu menjuarai perjuangan mereka.


No comments:

Post a Comment