Monday, October 19, 2015















Kesimpulan


Kesimpulannya, perpaduan kaum merupakan elemen yang penting dan harus diberi perhatian kerana pemupukan hubungan etnik antara masyarakat adalah amat penting bagi negara kita yang bermasyarakat majmuk serta menjamin kestabilan ekonomi dan politik negara.

Hubungan kaum yang harmoni adalah kunci kepada kemajuan dan kestabilan negara. Bagi mencapai kemajuan, negara memerlukan rakyat yang dedikasi dan komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing.

Justeru, masyarakat perlu saling memahami dan menghayati lapan nilai 1Malaysia iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti.
Malaysia pada masa sekarang berada dalam proses pembangunan yang akan menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan global yang besar. Dengan itu, negara kita amat memerlukan kesatuan dari semua golongan masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa.

Sebarang kesangsian, kecurigaan dan ketidakpuasan hati antara kaum yang diterjemahkan secara berlebihan hanya akan mewujudkan ketidakstabilan dan persengketaan dan akhirnya merugikan negara kita sendiri dan membazirkan usaha-usaha yang telah diusahakan oleh pemimpin-pemimpin dahulu.


Langkah-Langkah Bagi Mengatasi Ketidakharmonian Antara Kaum


Sepanjang sejarah selepas kemerdekaan, isu bagi mewujudkan hubungan harmoni antara kaum telah menjadi isu yang tiada titik noktah. Kerajaan telah mewujudkan pelbagai dasar ke arah pembentukan integrasi nasional.

Antara dasar–dasar dan pelan tindakan khas kerajaan ialah Dasar Ekonomi Baru (DEB) 1971 – 1990 dan Dasar Pembangunan Negara (DPN) 1991 – 2000, Dasar Wawasan Negara dan juga Program 1 Malaysia.

Dasar Ekonomi Baru (DEB) 1971-1990 merupakan dasar yang diperkenalkan oleh Tun Abdul Razak semasa berlakunya rusuhan kaum 13 Mei 1969. Dalam waktu yang membimbangkan ini, punca tercetusnya perusuhan itu dikesan dan langkah mengatasinya telah diambil. Penggubalan dasar ini bertujuan untuk mencapai perpaduan negara dengan memperbetulkan ketidakseimbangan sosio – ekonomi antara kaum dan wilayah.

Ia juga diwujudkan untuk mempertingkatkan penglibatan kaum bumiputera dalam bidang perniagaan dan perusahaan sebagai usaha untuk membasmi perasaan tidak puas hati dalam masyarakat. Bagi mengukuhkan perpaduan di kalangan rakyat, usaha diteruskan lagi dengan pelancaran dasar pembangunan nasional pada 17 Jun 1991. Dasar tersebut meneruskan pencapaian DEB dalam pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat.

Objektifnya ialah untuk membina sebuah negara yang bersatu padu dan mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih adil, maju, aman dan makmur berasaskan prinsip-prinsip perlembagaan dan rukun negara.

Dasar Wawasan Negara (2001-2010) atau dikenali sebagai Wawasan 2020 merupakan usaha kerajaan untuk mengembangkan ekonomi, sosial dan politik pada peringkat nasional dan antarabangsa serta menitikberatkan pembangunan menyeluruh dan meliputi aspek-aspek politik, ekonomi, sosial, kerohanian, kejiwaan dan kebudayaan. Menjelang tahun 2020, Malaysia diharapkan mampu menjadi sebuah negara yang bersatu padu di mana masyarakat Malaysia mempunyai nilai moral dan etika yang utuh, penyayang, adil dan saksama, berkeyakinan serta mampu bersaing.
Konsep 1Malaysia telah diperkenalkan oleh Datuk Seri Mohd Najib pada 3 April 2009. Konsep 1 Malaysia ini memberi aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. Konsep ini juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat sebagaimana slogan Perdana Menteri iaitu “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.”

Untuk mencapai kemajuan bagi negara,sikap penerimaan antara kaum membawa kepada perpaduan yang utuh perlu diamalkan. Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar. Persefahaman kaum juga dapat dipupuk secara berkesan menerusi pendidikan. Antara langkah yang dilakukan ialah dengan penubuhan sekolah wawasan. Sekolah wawasan merupakan tempat yang terbaik untuk memulakan proses integrasi antara kaum.

Sekolah wawasan menyediakan ruang dan peluang untuk murid-murid pelbagai kaum berinteraksi secara langsung kerana mereka berkongsi kantin, padang permainan, dewan dan kemudahan lain di sekolah. Mereka berpeluang untuk saling mengenali dan memahami antara satu sama lain. Dengan itu, mereka akan membesar dengan sikap toleransi dan hormat terhadap budaya dan agama kaum lain. Tegasnya, sekolah wawasan mampu memupuk persefahaman kaum dan seterusnya mempercepat integrasi nasional.

Selain itu, pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) juga mampu mewujudkan keharmonian rakyat serta negara. PLKN dapat memupuk perpaduan nasional. Melaluinya, remaja pelbagai kaum akan ditempatkan bersama di bawah satu bumbung. Mereka akan bekerjasama untuk menjalankan aktiviti bersama-sama, berinteraksi dan bergaul mesra.

Dengan itu, mereka akan terdedah kepada corak hidup masyarakat majmuk Malaysia secara mendalam. Persefahaman yang lebih erat akan memupuk perasaan kekitaan. Selain daripada kerajaan yang bertanggungjawab mengekalkan keharmonian negara, masyarakat sendiri perlu turut memikul peranan penting dalam menjamin keharmonian negara berkekalan.

Media massa merupakan satu saluran yang dapat menyampaikan mesej kepada orang ramai dengan efisien. Media massa boleh dikategorikan kepada dua jenis iaitu media cetak dan media elektronik. Menurut L. John Martin, media massa merujuk kepada alat yang mewujudkan interaksi sosial, politik, dan ekonomi dalam ukuran yang lebih moden. Media dapat menyampaikan maklumat dan mendidik masyarakat serta menjadi medium perantaraan dalam sesuatu masyarakat (Vir Bala Aggarwal, 2002: xvii). Oleh itu, media memainkan peranan yang amat penting bagi memperbaiki hubungan antara kaum yang menjadi semakin buruk ini.

Media cetak seperti surat khabar, majalah dan buku membantu menyedarkan maklumat kepada masyarakat. Dengan memaparkan info mengenai sejarah, ciri-ciri kebudayaan dan agama kaum yang terdapat di dalam Negara kita dalam ruangan akhbar, orang ramai dapat mengetahui dan memahami perbezaan antara satu sama lain. Justeru, rasa hormat-menghormati antara satu sama lain akan ditimbulkan dalam hati setiap individu.

Di samping itu, media elektronik seperti televisyen, radio, laman web dan lain-lain juga merupakan satu peralatan yang dapat menyebarkan maklumat kepada orang ramai dengan mudah. Media elektronik memainkan peranan dengan menayangkan iklan-iklan yang boleh memupuk semangat perpaduan di kalangan masyarakat. Sebagai contohnya, kempen–kempen yang ingin dijalankan oleh kerajaan untuk memupuk semangat perpaduan haruslah dibantu oleh media elektronik kerana saluran ini adalah alat yang berkesan dalam penyampaian maklumat pada zaman teknologi yang canggih ini. Peranan ini membolehkan orang ramai melibatkan diri dalam kempen berkenaan dan seterusnya dapat merealisasikan hasrat kerajaan bagi menanam semangat perpaduan.

Kesan-Kesan Akibat Ketidakharmonian Antara Kaum



Hubungan ketidakharmonian antara kaum akan mengakibatkan negara kita berada di dalam keadaan yang tidak stabil. Hal ini akan mendorong kepada pergaduhan atau pertelingkahan antara kaum. Keadaan yang tidak stabil ini akan membimbangkan para pelabur.

Sekiranya, sesebuah negara mengalami suasana huru-hara, pelabur asing akan terasa bimbang terhadap modal yang dilaburkan juga tentang keselamatan perniagaan mereka di negara ini. Kemerosotan ekonomi akan melambatkan proses perkembangan dan kemajuan negara kerana kehidupan rakyat yang derita akibat kenaikan harga barang secara mendatar dan kemunduran teknologi kerana tiada sumbangan modal daripada para pelabur di dalam mahupun dari luar negara. Malahan, taraf hidup penduduk akan menjadi rendah akibat ketiadaan peluang pekerjaan. Oleh hal yang sedemikian, perpaduan di kalangan rakyat menjadi salah satu faktor penting dalam penjanaan ekonomi negara.

Mengancam Keselamatan Negara

Pertahanan bagi sesebuah negara juga banyak bergantung kepada rakyatnya. Secara langsungnya, hubungan tegang antara rakyat akibat daripada perselisihan sememangnya mampu menggugat keselamatan negara. Hal ini demikian kerana hubungan yang harmonis di kalangan rakyat secara tidak langsungnya akan mewujudkan sebuah tembok pertahanan yang kukuh dan dapat menjamin keselamatan sesebuah negara. Negara yang kacau bilau bukan sahaja terdedah kepada ancaman dari dalaman tetapi juga dari luar yang melihat ini sebagai peluang untuk campur tangan sekaligus membuka peluang untuk menguasai negara tersebut sama ada secara halus atau pun terang-terangan.

Menjejaskan Imej Negara

Bagi sebuah negara yang tidak aman, ia akan menjadi tajuk perbualan di peringkat global. Imej negara terjejas dan keadaan ini menjadi buruk apabila kita akan ditolak sama sekali untuk mengadakan kerjasama dengan negara-negara maju yang lain. Negara akan menjadi mundur sementara negara-negara yang tidak mengalami pergolakan kaum akan mencapai kejayaan secara berterusan. Tanpa keamanan, negara tersebut sukar untuk melakukan sesuatu yang dapat membanggakan mahupun menarik perhatian negara lain.

Sebaliknya, jika perpaduan dan hubungan harmonis wujud antara rakyat, ia adalah simbol kejayaan di peringkat global. Dengan ini, sesebuah negara tersebut bukan sahaja akan disegani oleh negara lain malah akan menjadi model dan rujukan kepada negara lain. Hubungan antara negara akan berjaya dianjurkan dan pelbagai peluang kerjasama akan wujud lalu membawa keuntungan ekonomi, sosial mahupun politik.

Faktor-Faktor Berlakunya Ketidakharmonian Hubungan Antara Kaum



Terdapat faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya kenyataan di atas. Pertama sekali merupakan faktor sistem pendidikan yang berasingan.

Rakyat Malaysia terbahagi kepada tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India yang mempunyai bahasa ibunda yang berbeza dan sistem persekolahan yang tersendiri. Ini sekaligus memisahkan pelajar mengikut bahasa ibunda masing-masing. Misalnya, sekolah aliran kebangsaan akan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Justeru, majoriti kaum Melayu yang akan menuntut di sekolah Melayu. Situasi ini menyebabkan interaksi para pelajar yang berbeza kaum dengan kaum yang berlainan sangat-sangat terhad. Persefahaman antara satu sama lain juga tidak disampaikan dengan sepenuhnya. Tambahan pula, sejak kedatangan orang Cina ke Tanah Melayu pada abad ke-19, selain bertujuan untuk mencari kekayaan, orang Cina tidak lupa akan tanggungjawab sosial mereka iaitu mendidik kanak-kanak Cina agar mereka mewarisi bahasa dan budaya etnik Cina.

Justeru, penubuhan sekolah vernakular Cina menjadi satu agenda penting kepada mereka (Tan Yao Sua, 2005:65). Selain daripada itu, ibu bapa yang tidak yakin terhadap sekolah kebangsaan tetapi menghantar anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan yang merasakan struktur pendidikan tersebut dapat menjamin kecemerlangan akademik anak mereka juga menjauhi hubungan antara etnik.

Faktor yang kedua ialah keadaan politik di negara kita. Isu-isu mengenai bahasa, budaya, agama, kerakyatan dan ekonomi sering kali dijadikan isu oleh orang politik bagi tujuan tertentu. Teknik-teknik yang digunakan oleh orang politik berkenaan isu sensitif tersebut akan memberikan impak yang negatif kepada rakyat.

Setiap kaum akan cuba mempertahankan hak mereka bagi mendapatkan satu keadaan yang sama rata. Sebagai contoh, parti-parti politik tertentu cuba mengambil peluang untuk menimbulkan perasaan kurang senang hati di kalangan masyarakat dan seterusnya menyebarkan propaganda berkenaan isu perkauman. Di samping itu, perbezaan nilai antara etnik juga mengakibatkan hubungan antara kaum bertambah rumit. Setiap kaum mempunyai budaya, kepercayaan dan bahasa yang berlainan. Justeru, setiap kaum akan mengamalkan ciri-ciri yang kemudiannya menjadi identiti diri mereka. Persoalannya apabila identiti mereka dipersoalkan, kesejahteraan dan keamanan negara akan terancam.

Oleh itu, setiap etnik cuba mengambil keputusan bagi mengurangkan interaksi antara satu sama lain. Impaknya jurang hubungan antara kaum semakin membesar. Anggota etnik akan memilih etnik yang sama dengan mereka sebagai kawan mahupun rakan sekerja. Mereka mendapati sukar untuk mengadaptasikan diri dan menerima budaya etnik yang lain dan menganggapnya tidak akan memberi apa-apa faedah kepada mereka dalam kehidupan seharian.

           Sebagai contohnya, sesetengah pensyarah di IPTA terpaksa mengagihkan ahli kumpulan kerja kursus dengan memastikan setiap etnik terdapat dalam sesebuah kumpulan itu. Walaubagaimanapun, cara tersebut tidak memberikan kesan yang diingini kerana masalah komunikasi dan ketidakselesaan wujud di kalangan etnik. Masalah saling menyalahkan etnik-etnik tertentu akan wujud.

         British telah menempatkan kaum-kaum tertentu kepada sektor-sektor ekonomi yang berbeza semasa Tanah Melayu masih dijajah. Misalnya, kaum Melayu telah ditempatkan di sektor pertanian yang berada di luar bandar. Sektor tersebut memerlukan sumber tenaga fizikal dan berteknologi rendah. Bagi kaum Cina pula ditempatkan di sektor perdagangan atau perniagaan yang melibatkan teknologi tinggi. Manakala kaum India pula terlibat dengan perladangan di estet getah dan kelapa sawit. Agihan tersebut mengakibatkan jurang pendapatan antara kaum semakin ketara dan tidak seimbang.

    Kaum Melayu dan India akan berhadapan dengan kemiskinan manakala kaum Cina akan terus mencari peluang-peluang perniagaan bagi mengukuhkan kemewahan mereka. Perasaan tidak puas hati di antara etnik akan wujud. Justeru, ini akan menyebabkan etnik-etnik berusaha untuk mempertahankan hak-hak mereka serta kesaksamaan. Proses mempertahankan hak tersebut akan merosakkan hubungan kaum kerana masing-masing mahu menjuarai perjuangan mereka.


Negara Akan Terus Maju Jika Perpaduan Kaum Dapat Dikekalkan

MALAYSIA memiliki komposisi penduduk yang terdiri daripada kepelbagaian budaya dan bangsa. Hubungan harmoni yang terjalin sesama kaum ini akan memperkukuhkan lagi kedaulatan dan pembangunan negara. Keharmonian yang terhasil daripada perpaduan antara rakyat Malaysia merupakan satu keistimewaan dan juga daya tarikan kepada pelabur asing untuk melabur di negara kita.

Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed, agenda perpaduan sentiasa dititikberatkan kerana dengan bersatu hati kita dapat membina sebuah negara yang aman damai, sejahtera dan rakyatnya sentiasa mementingkan perpaduan dan negara aman, politiknya tidak huru-hara, serta ekonomi yang baik dan dapat menarik minat pelabur asing.

Tambahan pula, konsep 1Malaysia yang berasaskan prinsip “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” juga menerangkan bahawa hubungan harmoni dan kerjasama antara pelbagai kaum merupakan kunci atau senjata utama untuk menghadapi pelbagai ancaman dan cabaran supaya negara kita dapat mencapai matlamat yang telah ditetapkan.

Secara umumnya, perasaan prasangka dan ketidakpuasan hati antara pelbagai etnik dalam sesebuah negara bukanlah suatu perkara asing. Persoalannya, bagaimana kita menangani isu ini secara berhemah agar kita dapat meluahkan perasaan hati tanpa menjejaskan keamanan dan keharmonian negara. Di kebanyakkan negara, persengketaan antara kaum lebih-lebih lagi berkenaan isu agama telah membawa peperangan yang berlarutan sekaligus membantut pembangunan ekonomi, sosial dan juga politik negara berkenaan.

Pergolakan Kaum Menggugat Kedaulatan Negara

Negara kita telah pun mencapai kemerdekaan selama 55 tahun, namun dalam soal perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum masih tidak lagi diselesaikan sepenuhnya. Pada masa kini, hubungan yang harmoni sesama kaum dipandang ringan oleh sebahagian besar daripada kita. Menurut Datuk Mohd.Ariff Sabri Abdul Aziz, isu sensitif antara kaum dalam soal hak, warna kulit, kepercayaan agama dan budaya sering dipertikaikan.

Sebagai contoh, dalam insiden seorang pengetua sekolah menengah dan penolong pengarah sebuah agensi kerajaan yang didakwa mengeluarkan kata-kata berbaur rasis, mereka didakwa menyebut pelajar Cina tidak diperlukan di negara ini dan boleh pulang ke China di samping menyamakan gelang keagamaan Hindu yang dipakai pelajar-pelajar India seperti rantai anjing adalah amat menyedihkan. Walaupun terdapat sebab-sebab di sebalik kejadian tersebut, tetapi perkataan sedemikian yang dikeluarkan oleh seseorang yang berkelayakan tinggi telah menyebabkan ketidakpuasan hati di kalangan masyarakat Cina dan India, seolah-olah mereka diperlakukan seperti warga negara kelas kedua.

Pada satu sudut yang lain pula, seorang bloger yang kemudian menjadi artis dan pengarah popular yang bernama Namewee sering kali menggubah lagu-lagu yang mengandungi unsur-unsur yang dilihat sebagai rasis oleh orang Melayu. Tetapi Namewee dikatakan bertindak sedemikian hasil daripada pengalamannya yang tidak dilayan dengan wajar oleh pihak-pihak tertentu. Filem kontroversinya ‘Nasi Lemak 2.0’ tidak menikmati penolakan cukai sebanyak 20% sebagaimana yang dinikmati oleh kebanyakan filem tempatan Malaysia yang lain walaupun filem tersebut berjaya menonjolkan konsep 1Malaysia dan telah memenangi pelbagai anugerah dan pengiktirafan di luar negara.

Ironinya, tiada sebarang pengecualian atau pengiktirafan yang diberikan walaupun Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz (2011), menyokong dan berkata bahawa ‘Nasi Lemak 2.0’ merupakan filem 1Malaysia.Justeru, ia membuktikan bahawa isu keharmonian antara kaum masih menjadi persoalan besar dan penyelesaian bagi masalah ini tidak ditemui lagi walaupun pelbagai usaha telah diambil.

1 MALAYSIA !!!!

Malaysia merupakan sebuah negara berdaulat yang didokong oleh gabungan masyarakat pelbagai kaum.  Keunikan masyarakat 1 Malaysia ialah sikap saling bertolak-ansur yang diamalkan sejak laungan merdeka mewarnai bumi bertuah ini.  Ironinya, simpulan perpaduan itu mula goyah apabila terdapat campur tangan anasir-anasir jahat yang mempunyai agenda sulit.  Maka, masyarakat Malaysia perlu segera celik akan kepentingan perpaduan kaum dan berusaha membenihkan semula semangat bersatu teguh bercerai roboh agar terus bercambah serta menjadi pegangan hidup.

                Tidak dapat disangkal bahawa masyarakat yang harmoni merupakan kesan perpaduan kaum yang utuh.  Penerimaan adat dan budaya kaum lain merupakan elemen penting dalam menjana perpaduan.  Amalan ini mencetuskan rasa saling menghormati dan sudah pasti setiap kaum akan mengelakkan sebarang insiden yang boleh mengguris hati kaum yang lain.  Percampuran budaya yang tercetus hasil perkahwinan campur juga menjadi bonus ke arah perpaduan antara kaum, sekaligus melahirkan masyarakat yang harmoni di Malaysia.  Sudah terang lagi bersuluh bahawa perpaduan kaum yang teguh akan melahirkan masyarakat yang harmoni.

Seterusnya, keharmonian yang tercetus hasil daripada ikatan perpaduan yang erat mampu memajukan ekonomi negara.  Hal ini boleh dijelaskan melalui peningkatan jumlah pelabur asing yang berminat untuk menjana perniagaan mereka di Malaysia kerana persekitaran perniagaan yang aman pasti mendatangkan keuntungan yang maksimum kepada mereka.  Jika jumlah pelaburan asing tinggi di Malaysia, peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia akan terbuka luas.   Secara tidak langsung, bukan sahaja ekonomi negara meningkat secara global tetapi ekonomi rakyat juga akan semakin rancak disebabkan peluang-peluang yang menjelma.  Hal ini cukup membuktikan bahawa perpaduan kaum mampu meningkatkan ekonomi negara.

Perpaduan kaum yang utuh juga memangkin kehidupan yang berkualiti sehingga menjadikan negara kita duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara lain.  Imej sebagai sebuah negara berbilang kaum yang sentiasa berpaksikan perpaduan sentiasa menjadi buah mulut negara luar.  Banyak negara yang kagum akan dasar-dasar kerajaan yang berjaya mentransformasikan negara ke arah negara maju tanpa meminggirkan nilai-nilai kemanusiaan terutamanya semangat perpaduan antara kaum.  Pengiktirafan Malaysia sebagai penanda aras dalam memacu hubungan rakyat yang mesra merupakan satu tanda penghargaan negara luar terhadap keistimewaan acuan kemajuan negara kita sendiri.  Jelaslah bahawa perpaduan kaum menjadikan imej negara kita menarik pada pandangan masyarakat dunia.

Selain itu, asimilasi pelbagai budaya rakyat Malaysia diterima sebagai satu budaya unik di bawah satu bumbung.  Hal ini menjadi satu elemen menarik yang menggamit minat pelancong asing untuk datang bertandang dan menyaksikan sendiri kehebatan bangsa 1 Malaysia.   Rakyat Malaysia yang sudah terdedah dengan konsep berkompromi selagi tidak mencuit isu sensitif berkaitan agama merupakan rakyat yang ramah dan mesra serta mudah menerima kedatangan rakyat asing ke dalam kelompok peribadi mereka.  Jadi, tidak hairanlah jika rakyat Malaysia yang bersatu padu sedia memberikan layanan kelas pertama kepada pelancong yang datang untuk mengalami keunikan Malaysia.

Kesimpulannya, hidup berlandaskan konsep bagai aur dengan tebing tanpa mengira kaum patut menjadi pegangan setiap warga Malaysia.  Usah biarkan sejarah 13 Mei 1969 yang berpunca daripada perbalahan kaum melakar dakwatnya untuk kali kedua kerana kesan negatifnya sangat memeritkan.  Bersama-samalah kita rakyat Malaysia berjuang demi melahirkan bangsa Malaysia jenama baru yang sentiasa ikhlas bersatu.


Perpaduan kaum ....

        “Rakyat Malaysia mestilah hidup bersatu padu”. Demikianlah kata-kata Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj selepas memperkenalkan Rukun Negara kepada rakyat Malaysia. Kata-kata almarhum memang ada kebenarannya kerana bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Saya yakin bahawa banyak cara boleh dilakukan untuk mengukuhkan perpaduan kaum kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

          Cara yang terbaik boleh kita lakukan untuk menyatupadukan rakyat adalah melalui sistem pendidikan negara. Hal ini dikatakan demikian kerana sistem pendidikan memainkan peranan penting sebagai agen perpaduan. Pihak sekolah bolehlah memasukkan murid-murid ke dalam kelas yang harmoni, yakni diduduki murid berbangsa Melayu, Cina, India, dan kaum-kaum lain. Oleh sebab rambut sama hitam, hati lain-lain, pelbagai kaum dapat belajar di dalam kelas di samping menyanyikan lagu kebangsaan untuk memupuk perpaduan nasional.

          Kerajaan pula mestilah bertindak bijak dengan menempatkan rakyat yang berbilang kaum di sesuatu tempat. Hal ini dapat mengelakkan polarisasi kaum dan tidak membina jurang pemisah antara kaum. Apabila tinggal bersama di sesuatu kawasan petempatan, kita dapat bergaul mesra dan hidup bagai aur dengan tebing. Sulaman kasih dan amala hormat-menghormati yang diamalkan pasti dapat membentuk rakyat supaya hidup harmoni dan bersatu padu.

          Pada masa yang sama, pelbagai program kemasyarakatan bolehlah diadakan oleh pihak kerajaan. Sebagai contoh, kegiatan gotong-royong harus dijadikan aktiviti tahunan suoaya kita dapat memupuk perpaduan kaum. Semua kaum mestilah memahmi konsep berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Dengan amalan ini, kita bukan sahaja dapat membersihkan tempat tinggal, malah dapat bergaul mesra dan hidup serumpum bagai serai. Amalan inilah yang dikatakan semangat 1Malaysia rakyat kita.

          Di samping itu, amalan ziarah-menziarahi pada hari perayaan juga merupakan rencah penting untuk menyuburkan semangat perpaduan antara kaum. Amalan rumah terbuka misalnya bolehlah diadakan pada hari perayaan. Dengan berbuat demikian, semua kaum dapat dikumpulkan bersama-sama meraikan hari perayaan dengan penuh bermakna. Apabila berbual-bual dan bertukar-tukar pandangan, saya yakin bahawa kita dapat berkenalan dan lebih memahami kebudayaan masing-masing.



          Kesimpulannya, kita haruslah menyahut seruan Perdana Menteri untuk hidup bersatu padu. Hal ini dikatakan demikian kerana semangat bersatu padu amat penting untuk membina negara yang harmoni dan kukuh. Oleh sebab itu, tanpa rakyat tiadalah negara. Rakyat haruslah berpegang teguh pada prinsip ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni demi membentuk masyarakat majmuk yang bersatu padu. Malaysia Boleh!

Wednesday, September 30, 2015

APAKAH ITU SATU MALAYSIA ?


Kita Boleh Lebih Memahami Konsep Satu Malaysia Yang Juga Merupakan Salah Satu Tunggak Perpaduan Masyarakat Malaysia

MARILAH KITA MERENUNGKAN


Bersamalah Kita Menepati Janji Dan Membawa Harapan

KERATAN AKHBAR TENTANG PERPADUAN DI MALAYSIA

GOTONG ROYONG DAPAT MENGERATKAN PERKAUMAN MASYARAKAT MALAYSIA


KANAK-KANAK TABIKA PERPADUAN TUNAS MENYERTAI KARNIVAL TUNAS JIRAN

EKONOMI MALAYSIA BERKEMBANG PESAT 


SUKAN MERUPAKAN SALAH SATU CARA UNTUK MENERAP NILAI PERPADUAN PADA PERINGKAT SEKOLAH


MENCAPAI PERPADUAN KAUM TANPA MELIHATKAN BATAS PERKAUMAN