Monday, October 19, 2015
Kesimpulan
Kesimpulannya, perpaduan kaum
merupakan elemen yang penting dan harus diberi perhatian kerana pemupukan
hubungan etnik antara masyarakat adalah amat penting bagi negara kita yang
bermasyarakat majmuk serta menjamin kestabilan ekonomi dan politik negara.
Hubungan kaum yang harmoni adalah
kunci kepada kemajuan dan kestabilan negara. Bagi mencapai kemajuan, negara
memerlukan rakyat yang dedikasi dan komited untuk melaksanakan tugas dan
tanggungjawab masing-masing.
Justeru, masyarakat perlu saling
memahami dan menghayati lapan nilai 1Malaysia iaitu budaya kecemerlangan,
ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan
integriti.
Malaysia pada masa sekarang
berada dalam proses pembangunan yang akan menghadapi pelbagai cabaran dan
rintangan global yang besar. Dengan itu, negara kita amat memerlukan kesatuan
dari semua golongan masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa.
Sebarang kesangsian, kecurigaan
dan ketidakpuasan hati antara kaum yang diterjemahkan secara berlebihan hanya
akan mewujudkan ketidakstabilan dan persengketaan dan akhirnya merugikan negara
kita sendiri dan membazirkan usaha-usaha yang telah diusahakan oleh
pemimpin-pemimpin dahulu.
Langkah-Langkah Bagi Mengatasi Ketidakharmonian Antara Kaum
Sepanjang sejarah selepas
kemerdekaan, isu bagi mewujudkan hubungan harmoni antara kaum telah menjadi isu
yang tiada titik noktah. Kerajaan telah mewujudkan pelbagai dasar ke arah
pembentukan integrasi nasional.
Antara dasar–dasar dan pelan
tindakan khas kerajaan ialah Dasar Ekonomi Baru (DEB) 1971 – 1990 dan Dasar
Pembangunan Negara (DPN) 1991 – 2000, Dasar Wawasan Negara dan juga Program 1
Malaysia.
Dasar Ekonomi Baru (DEB)
1971-1990 merupakan dasar yang diperkenalkan oleh Tun Abdul Razak semasa
berlakunya rusuhan kaum 13 Mei 1969. Dalam waktu yang membimbangkan ini, punca
tercetusnya perusuhan itu dikesan dan langkah mengatasinya telah diambil.
Penggubalan dasar ini bertujuan untuk mencapai perpaduan negara dengan
memperbetulkan ketidakseimbangan sosio – ekonomi antara kaum dan wilayah.
Ia juga diwujudkan untuk
mempertingkatkan penglibatan kaum bumiputera dalam bidang perniagaan dan
perusahaan sebagai usaha untuk membasmi perasaan tidak puas hati dalam
masyarakat. Bagi mengukuhkan perpaduan di kalangan rakyat, usaha diteruskan
lagi dengan pelancaran dasar pembangunan nasional pada 17 Jun 1991. Dasar
tersebut meneruskan pencapaian DEB dalam pembasmian kemiskinan dan penyusunan
semula masyarakat.
Objektifnya ialah untuk membina
sebuah negara yang bersatu padu dan mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih
adil, maju, aman dan makmur berasaskan prinsip-prinsip perlembagaan dan rukun
negara.
Dasar Wawasan Negara (2001-2010) atau
dikenali sebagai Wawasan 2020 merupakan usaha kerajaan untuk mengembangkan
ekonomi, sosial dan politik pada peringkat nasional dan antarabangsa serta
menitikberatkan pembangunan menyeluruh dan meliputi aspek-aspek politik,
ekonomi, sosial, kerohanian, kejiwaan dan kebudayaan. Menjelang tahun 2020,
Malaysia diharapkan mampu menjadi sebuah negara yang bersatu padu di mana
masyarakat Malaysia mempunyai nilai moral dan etika yang utuh, penyayang, adil
dan saksama, berkeyakinan serta mampu bersaing.
Konsep 1Malaysia telah
diperkenalkan oleh Datuk Seri Mohd Najib pada 3 April 2009. Konsep 1 Malaysia
ini memberi aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat
Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. Konsep ini juga akan
mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan
rakyat sebagaimana slogan Perdana Menteri iaitu “Rakyat Didahulukan, Pencapaian
Diutamakan.”
Untuk mencapai kemajuan bagi
negara,sikap penerimaan antara kaum membawa kepada perpaduan yang utuh perlu
diamalkan. Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara akan
berjalan dengan lebih lancar. Persefahaman kaum juga dapat dipupuk secara
berkesan menerusi pendidikan. Antara langkah yang dilakukan ialah dengan
penubuhan sekolah wawasan. Sekolah wawasan merupakan tempat yang terbaik untuk
memulakan proses integrasi antara kaum.
Sekolah wawasan menyediakan ruang
dan peluang untuk murid-murid pelbagai kaum berinteraksi secara langsung kerana
mereka berkongsi kantin, padang permainan, dewan dan kemudahan lain di sekolah.
Mereka berpeluang untuk saling mengenali dan memahami antara satu sama lain.
Dengan itu, mereka akan membesar dengan sikap toleransi dan hormat terhadap
budaya dan agama kaum lain. Tegasnya, sekolah wawasan mampu memupuk persefahaman
kaum dan seterusnya mempercepat integrasi nasional.
Selain itu, pelaksanaan Program
Latihan Khidmat Negara (PLKN) juga mampu mewujudkan keharmonian rakyat serta
negara. PLKN dapat memupuk perpaduan nasional. Melaluinya, remaja pelbagai kaum
akan ditempatkan bersama di bawah satu bumbung. Mereka akan bekerjasama untuk
menjalankan aktiviti bersama-sama, berinteraksi dan bergaul mesra.
Dengan itu, mereka akan terdedah
kepada corak hidup masyarakat majmuk Malaysia secara mendalam. Persefahaman
yang lebih erat akan memupuk perasaan kekitaan. Selain daripada kerajaan yang
bertanggungjawab mengekalkan keharmonian negara, masyarakat sendiri perlu turut
memikul peranan penting dalam menjamin keharmonian negara berkekalan.
Media massa merupakan satu
saluran yang dapat menyampaikan mesej kepada orang ramai dengan efisien. Media
massa boleh dikategorikan kepada dua jenis iaitu media cetak dan media
elektronik. Menurut L. John Martin, media massa merujuk kepada alat yang
mewujudkan interaksi sosial, politik, dan ekonomi dalam ukuran yang lebih
moden. Media dapat menyampaikan maklumat dan mendidik masyarakat serta menjadi
medium perantaraan dalam sesuatu masyarakat (Vir Bala Aggarwal, 2002: xvii).
Oleh itu, media memainkan peranan yang amat penting bagi memperbaiki hubungan
antara kaum yang menjadi semakin buruk ini.
Media cetak seperti surat khabar,
majalah dan buku membantu menyedarkan maklumat kepada masyarakat. Dengan
memaparkan info mengenai sejarah, ciri-ciri kebudayaan dan agama kaum yang
terdapat di dalam Negara kita dalam ruangan akhbar, orang ramai dapat
mengetahui dan memahami perbezaan antara satu sama lain. Justeru, rasa
hormat-menghormati antara satu sama lain akan ditimbulkan dalam hati setiap
individu.
Di samping itu, media elektronik
seperti televisyen, radio, laman web dan lain-lain juga merupakan satu
peralatan yang dapat menyebarkan maklumat kepada orang ramai dengan mudah.
Media elektronik memainkan peranan dengan menayangkan iklan-iklan yang boleh
memupuk semangat perpaduan di kalangan masyarakat. Sebagai contohnya, kempen–kempen
yang ingin dijalankan oleh kerajaan untuk memupuk semangat perpaduan haruslah
dibantu oleh media elektronik kerana saluran ini adalah alat yang berkesan
dalam penyampaian maklumat pada zaman teknologi yang canggih ini. Peranan ini
membolehkan orang ramai melibatkan diri dalam kempen berkenaan dan seterusnya
dapat merealisasikan hasrat kerajaan bagi menanam semangat perpaduan.
Kesan-Kesan Akibat Ketidakharmonian Antara Kaum
Hubungan ketidakharmonian antara
kaum akan mengakibatkan negara kita berada di dalam keadaan yang tidak stabil.
Hal ini akan mendorong kepada pergaduhan atau pertelingkahan antara kaum.
Keadaan yang tidak stabil ini akan membimbangkan para pelabur.
Sekiranya,
sesebuah negara mengalami suasana huru-hara, pelabur asing akan terasa bimbang
terhadap modal yang dilaburkan juga tentang keselamatan perniagaan mereka di
negara ini. Kemerosotan ekonomi akan melambatkan proses perkembangan dan
kemajuan negara kerana kehidupan rakyat yang derita akibat kenaikan harga
barang secara mendatar dan kemunduran teknologi kerana tiada sumbangan modal
daripada para pelabur di dalam mahupun dari luar negara. Malahan, taraf hidup
penduduk akan menjadi rendah akibat ketiadaan peluang pekerjaan. Oleh hal yang
sedemikian, perpaduan di kalangan rakyat menjadi salah satu faktor penting
dalam penjanaan ekonomi negara.
Mengancam Keselamatan Negara
Pertahanan bagi sesebuah negara
juga banyak bergantung kepada rakyatnya. Secara langsungnya, hubungan tegang
antara rakyat akibat daripada perselisihan sememangnya mampu menggugat
keselamatan negara. Hal ini demikian kerana hubungan
yang harmonis di kalangan rakyat secara tidak langsungnya akan mewujudkan
sebuah tembok pertahanan yang kukuh dan dapat menjamin keselamatan sesebuah
negara. Negara yang kacau bilau bukan
sahaja terdedah kepada ancaman dari dalaman tetapi juga dari luar yang melihat
ini sebagai peluang untuk campur tangan sekaligus membuka peluang untuk
menguasai negara tersebut sama ada secara halus atau pun terang-terangan.
Menjejaskan Imej Negara
Bagi sebuah negara yang tidak
aman, ia akan menjadi tajuk perbualan di peringkat global. Imej negara terjejas
dan keadaan ini menjadi buruk apabila kita akan ditolak sama sekali untuk
mengadakan kerjasama dengan negara-negara maju yang lain. Negara akan menjadi mundur
sementara negara-negara yang tidak mengalami pergolakan kaum akan mencapai
kejayaan secara berterusan. Tanpa keamanan, negara tersebut sukar untuk
melakukan sesuatu yang dapat membanggakan mahupun menarik perhatian negara
lain.
Sebaliknya, jika perpaduan dan
hubungan harmonis wujud antara rakyat, ia adalah simbol kejayaan di peringkat
global. Dengan ini, sesebuah negara tersebut bukan sahaja akan disegani oleh
negara lain malah akan menjadi model dan rujukan kepada negara lain. Hubungan antara negara akan
berjaya dianjurkan dan pelbagai peluang kerjasama akan wujud lalu membawa
keuntungan ekonomi, sosial mahupun politik.
Faktor-Faktor Berlakunya Ketidakharmonian Hubungan Antara Kaum
Terdapat faktor-faktor yang
menyebabkan berlakunya kenyataan di atas. Pertama sekali merupakan faktor
sistem pendidikan yang berasingan.
Rakyat Malaysia
terbahagi kepada tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India yang mempunyai
bahasa ibunda yang berbeza dan sistem persekolahan yang tersendiri. Ini
sekaligus memisahkan pelajar mengikut bahasa ibunda masing-masing. Misalnya,
sekolah aliran kebangsaan akan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa
pengantar.
Justeru,
majoriti kaum Melayu yang akan menuntut di sekolah Melayu. Situasi ini
menyebabkan interaksi para pelajar yang berbeza kaum dengan kaum yang berlainan
sangat-sangat terhad. Persefahaman antara satu sama lain juga tidak disampaikan
dengan sepenuhnya. Tambahan pula, sejak kedatangan orang Cina ke Tanah Melayu
pada abad ke-19, selain bertujuan untuk mencari kekayaan, orang Cina tidak lupa
akan tanggungjawab sosial mereka iaitu mendidik kanak-kanak Cina agar mereka
mewarisi bahasa dan budaya etnik Cina.
Justeru,
penubuhan sekolah vernakular Cina menjadi satu agenda penting kepada mereka
(Tan Yao Sua, 2005:65). Selain daripada itu, ibu bapa yang tidak yakin terhadap
sekolah kebangsaan tetapi menghantar anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan
yang merasakan struktur pendidikan tersebut dapat menjamin kecemerlangan
akademik anak mereka juga menjauhi hubungan antara etnik.
Faktor yang
kedua ialah keadaan politik di negara kita. Isu-isu mengenai bahasa, budaya,
agama, kerakyatan dan ekonomi sering kali dijadikan isu oleh orang politik bagi
tujuan tertentu. Teknik-teknik yang digunakan oleh orang politik berkenaan isu
sensitif tersebut akan memberikan impak yang negatif kepada rakyat.
Setiap kaum akan
cuba mempertahankan hak mereka bagi mendapatkan satu keadaan yang sama rata.
Sebagai contoh, parti-parti politik tertentu cuba mengambil peluang untuk
menimbulkan perasaan kurang senang hati di kalangan masyarakat dan seterusnya
menyebarkan propaganda berkenaan isu perkauman. Di samping itu,
perbezaan nilai antara etnik juga mengakibatkan hubungan antara kaum bertambah
rumit. Setiap kaum mempunyai budaya, kepercayaan dan bahasa yang berlainan.
Justeru, setiap kaum akan mengamalkan ciri-ciri yang kemudiannya menjadi
identiti diri mereka. Persoalannya apabila identiti mereka dipersoalkan,
kesejahteraan dan keamanan negara akan terancam.
Oleh itu, setiap
etnik cuba mengambil keputusan bagi mengurangkan interaksi antara satu sama
lain. Impaknya jurang hubungan antara kaum semakin membesar. Anggota etnik akan
memilih etnik yang sama dengan mereka sebagai kawan mahupun rakan sekerja.
Mereka mendapati sukar untuk mengadaptasikan diri dan menerima budaya etnik
yang lain dan menganggapnya tidak akan memberi apa-apa faedah kepada mereka dalam
kehidupan seharian.
Sebagai contohnya, sesetengah
pensyarah di IPTA terpaksa mengagihkan ahli kumpulan kerja kursus dengan
memastikan setiap etnik terdapat dalam sesebuah kumpulan itu. Walaubagaimanapun,
cara tersebut tidak memberikan kesan yang diingini kerana masalah komunikasi
dan ketidakselesaan wujud di kalangan etnik. Masalah saling menyalahkan
etnik-etnik tertentu akan wujud.
British telah menempatkan
kaum-kaum tertentu kepada sektor-sektor ekonomi yang berbeza semasa Tanah
Melayu masih dijajah. Misalnya, kaum Melayu telah ditempatkan di sektor
pertanian yang berada di luar bandar. Sektor tersebut memerlukan sumber tenaga
fizikal dan berteknologi rendah. Bagi kaum Cina pula ditempatkan di sektor
perdagangan atau perniagaan yang melibatkan teknologi tinggi. Manakala kaum
India pula terlibat dengan perladangan di estet getah dan kelapa sawit. Agihan
tersebut mengakibatkan jurang pendapatan antara kaum semakin ketara dan tidak
seimbang.
Kaum Melayu dan India akan
berhadapan dengan kemiskinan manakala kaum Cina akan terus mencari
peluang-peluang perniagaan bagi mengukuhkan kemewahan mereka. Perasaan tidak
puas hati di antara etnik akan wujud. Justeru, ini akan menyebabkan etnik-etnik
berusaha untuk mempertahankan hak-hak mereka serta kesaksamaan. Proses
mempertahankan hak tersebut akan merosakkan hubungan kaum kerana masing-masing
mahu menjuarai perjuangan mereka.
Negara Akan Terus Maju Jika Perpaduan Kaum Dapat Dikekalkan
MALAYSIA memiliki komposisi
penduduk yang terdiri daripada kepelbagaian budaya dan bangsa. Hubungan harmoni
yang terjalin sesama kaum ini akan memperkukuhkan lagi kedaulatan dan
pembangunan negara. Keharmonian yang terhasil daripada perpaduan antara rakyat
Malaysia merupakan satu keistimewaan dan juga daya tarikan kepada pelabur asing
untuk melabur di negara kita.
Menurut Menteri
Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI), Datuk Seri Mustapa
Mohamed, agenda perpaduan sentiasa dititikberatkan kerana dengan bersatu hati
kita dapat membina sebuah negara yang aman damai, sejahtera dan rakyatnya
sentiasa mementingkan perpaduan dan negara aman, politiknya tidak huru-hara,
serta ekonomi yang baik dan dapat menarik minat pelabur asing.
Tambahan pula,
konsep 1Malaysia yang berasaskan prinsip “Rakyat Didahulukan, Pencapaian
Diutamakan” juga menerangkan bahawa hubungan harmoni dan kerjasama antara
pelbagai kaum merupakan kunci atau senjata utama untuk menghadapi pelbagai
ancaman dan cabaran supaya negara kita dapat mencapai matlamat yang telah
ditetapkan.
Secara umumnya,
perasaan prasangka dan ketidakpuasan hati antara pelbagai etnik dalam sesebuah
negara bukanlah suatu perkara asing. Persoalannya, bagaimana kita menangani isu
ini secara berhemah agar kita dapat meluahkan perasaan hati tanpa menjejaskan keamanan
dan keharmonian negara. Di kebanyakkan negara, persengketaan antara kaum
lebih-lebih lagi berkenaan isu agama telah membawa peperangan yang berlarutan
sekaligus membantut pembangunan ekonomi, sosial dan juga politik negara
berkenaan.
Pergolakan Kaum Menggugat
Kedaulatan Negara
Negara kita telah pun mencapai
kemerdekaan selama 55 tahun, namun dalam soal perpaduan di kalangan masyarakat
berbilang kaum masih tidak lagi diselesaikan sepenuhnya. Pada masa kini,
hubungan yang harmoni sesama kaum dipandang ringan oleh sebahagian besar
daripada kita. Menurut Datuk Mohd.Ariff Sabri Abdul Aziz, isu sensitif antara
kaum dalam soal hak, warna kulit, kepercayaan agama dan budaya sering
dipertikaikan.
Sebagai contoh,
dalam insiden seorang pengetua sekolah menengah dan penolong pengarah sebuah
agensi kerajaan yang didakwa mengeluarkan kata-kata berbaur rasis, mereka
didakwa menyebut pelajar Cina tidak diperlukan di negara ini dan boleh pulang
ke China di samping menyamakan gelang keagamaan Hindu yang dipakai
pelajar-pelajar India seperti rantai anjing adalah amat menyedihkan. Walaupun
terdapat sebab-sebab di sebalik kejadian tersebut, tetapi perkataan sedemikian
yang dikeluarkan oleh seseorang yang berkelayakan tinggi telah menyebabkan ketidakpuasan
hati di kalangan masyarakat Cina dan India, seolah-olah mereka diperlakukan
seperti warga negara kelas kedua.
Pada satu sudut
yang lain pula, seorang bloger yang kemudian menjadi artis dan pengarah popular
yang bernama Namewee sering kali menggubah lagu-lagu yang mengandungi
unsur-unsur yang dilihat sebagai rasis oleh orang Melayu. Tetapi Namewee dikatakan bertindak
sedemikian hasil daripada pengalamannya yang tidak dilayan dengan wajar oleh
pihak-pihak tertentu. Filem
kontroversinya ‘Nasi Lemak 2.0’ tidak menikmati penolakan cukai sebanyak 20%
sebagaimana yang dinikmati oleh kebanyakan filem tempatan Malaysia yang lain
walaupun filem tersebut berjaya menonjolkan konsep 1Malaysia dan telah
memenangi pelbagai anugerah dan pengiktirafan di luar negara.
Ironinya, tiada
sebarang pengecualian atau pengiktirafan yang diberikan walaupun Menteri di
Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz (2011), menyokong dan berkata
bahawa ‘Nasi Lemak 2.0’ merupakan filem 1Malaysia.Justeru, ia
membuktikan bahawa isu keharmonian antara kaum masih menjadi persoalan besar
dan penyelesaian bagi masalah ini tidak ditemui lagi walaupun pelbagai usaha
telah diambil.
1 MALAYSIA !!!!
Malaysia merupakan sebuah negara berdaulat yang didokong
oleh gabungan masyarakat pelbagai kaum.
Keunikan masyarakat 1 Malaysia ialah sikap saling bertolak-ansur yang
diamalkan sejak laungan merdeka mewarnai bumi bertuah ini. Ironinya, simpulan perpaduan itu mula goyah
apabila terdapat campur tangan anasir-anasir jahat yang mempunyai agenda
sulit. Maka, masyarakat Malaysia perlu
segera celik akan kepentingan perpaduan kaum dan berusaha membenihkan semula
semangat bersatu teguh bercerai roboh agar terus bercambah serta menjadi
pegangan hidup.
Tidak dapat disangkal bahawa
masyarakat yang harmoni merupakan kesan perpaduan kaum yang utuh. Penerimaan adat dan budaya kaum lain
merupakan elemen penting dalam menjana perpaduan. Amalan ini mencetuskan rasa saling
menghormati dan sudah pasti setiap kaum akan mengelakkan sebarang insiden yang
boleh mengguris hati kaum yang lain.
Percampuran budaya yang tercetus hasil perkahwinan campur juga menjadi
bonus ke arah perpaduan antara kaum, sekaligus melahirkan masyarakat yang
harmoni di Malaysia. Sudah terang lagi
bersuluh bahawa perpaduan kaum yang teguh akan melahirkan masyarakat yang
harmoni.
Seterusnya, keharmonian yang
tercetus hasil daripada ikatan perpaduan yang erat mampu memajukan ekonomi
negara. Hal ini boleh dijelaskan melalui
peningkatan jumlah pelabur asing yang berminat untuk menjana perniagaan mereka
di Malaysia kerana persekitaran perniagaan yang aman pasti mendatangkan
keuntungan yang maksimum kepada mereka.
Jika jumlah pelaburan asing tinggi di Malaysia, peluang pekerjaan untuk
rakyat Malaysia akan terbuka luas.
Secara tidak langsung, bukan sahaja ekonomi negara meningkat secara
global tetapi ekonomi rakyat juga akan semakin rancak disebabkan
peluang-peluang yang menjelma. Hal ini
cukup membuktikan bahawa perpaduan kaum mampu meningkatkan ekonomi negara.
Perpaduan kaum yang utuh juga
memangkin kehidupan yang berkualiti sehingga menjadikan negara kita duduk sama
rendah, berdiri sama tinggi dengan negara lain.
Imej sebagai sebuah negara berbilang kaum yang sentiasa berpaksikan
perpaduan sentiasa menjadi buah mulut negara luar. Banyak negara yang kagum akan dasar-dasar
kerajaan yang berjaya mentransformasikan negara ke arah negara maju tanpa
meminggirkan nilai-nilai kemanusiaan terutamanya semangat perpaduan antara
kaum. Pengiktirafan Malaysia sebagai
penanda aras dalam memacu hubungan rakyat yang mesra merupakan satu tanda
penghargaan negara luar terhadap keistimewaan acuan kemajuan negara kita
sendiri. Jelaslah bahawa perpaduan kaum
menjadikan imej negara kita menarik pada pandangan masyarakat dunia.
Selain itu, asimilasi pelbagai
budaya rakyat Malaysia diterima sebagai satu budaya unik di bawah satu
bumbung. Hal ini menjadi satu elemen
menarik yang menggamit minat pelancong asing untuk datang bertandang dan
menyaksikan sendiri kehebatan bangsa 1 Malaysia. Rakyat Malaysia yang sudah terdedah dengan
konsep berkompromi selagi tidak mencuit isu sensitif berkaitan agama merupakan
rakyat yang ramah dan mesra serta mudah menerima kedatangan rakyat asing ke
dalam kelompok peribadi mereka. Jadi,
tidak hairanlah jika rakyat Malaysia yang bersatu padu sedia memberikan layanan
kelas pertama kepada pelancong yang datang untuk mengalami keunikan Malaysia.
Kesimpulannya, hidup berlandaskan
konsep bagai aur dengan tebing tanpa mengira kaum patut menjadi pegangan setiap
warga Malaysia. Usah biarkan sejarah 13
Mei 1969 yang berpunca daripada perbalahan kaum melakar dakwatnya untuk kali
kedua kerana kesan negatifnya sangat memeritkan. Bersama-samalah kita rakyat Malaysia berjuang
demi melahirkan bangsa Malaysia jenama baru yang sentiasa ikhlas bersatu.
Perpaduan kaum ....
“Rakyat Malaysia mestilah hidup bersatu padu”. Demikianlah kata-kata
Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj selepas
memperkenalkan Rukun Negara kepada rakyat Malaysia. Kata-kata almarhum memang
ada kebenarannya kerana bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.
Saya yakin bahawa banyak cara boleh dilakukan untuk mengukuhkan perpaduan kaum
kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
Cara yang terbaik boleh kita lakukan untuk
menyatupadukan rakyat adalah melalui sistem pendidikan negara. Hal ini
dikatakan demikian kerana sistem pendidikan memainkan peranan penting sebagai
agen perpaduan. Pihak sekolah bolehlah memasukkan murid-murid ke dalam kelas
yang harmoni, yakni diduduki murid berbangsa Melayu, Cina, India, dan kaum-kaum
lain. Oleh sebab rambut sama hitam, hati lain-lain, pelbagai kaum
dapat belajar di dalam kelas di samping menyanyikan lagu kebangsaan untuk
memupuk perpaduan nasional.
Kerajaan pula mestilah bertindak bijak dengan menempatkan rakyat yang berbilang
kaum di sesuatu tempat. Hal ini dapat mengelakkan polarisasi kaum dan tidak
membina jurang pemisah antara kaum. Apabila tinggal bersama di sesuatu kawasan
petempatan, kita dapat bergaul mesra dan hidup bagai aur dengan tebing.
Sulaman kasih dan amala hormat-menghormati yang diamalkan pasti dapat membentuk
rakyat supaya hidup harmoni dan bersatu padu.
Pada masa yang sama, pelbagai program kemasyarakatan bolehlah diadakan oleh
pihak kerajaan. Sebagai contoh, kegiatan gotong-royong harus dijadikan aktiviti
tahunan suoaya kita dapat memupuk perpaduan kaum. Semua kaum mestilah memahmi
konsep berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Dengan
amalan ini, kita bukan sahaja dapat membersihkan tempat tinggal, malah dapat
bergaul mesra dan hidup serumpum bagai serai. Amalan inilah yang dikatakan
semangat 1Malaysia rakyat kita.
Di samping itu, amalan ziarah-menziarahi pada hari perayaan juga merupakan
rencah penting untuk menyuburkan semangat perpaduan antara kaum. Amalan rumah
terbuka misalnya bolehlah diadakan pada hari perayaan. Dengan berbuat demikian,
semua kaum dapat dikumpulkan bersama-sama meraikan hari perayaan dengan penuh
bermakna. Apabila berbual-bual dan bertukar-tukar pandangan, saya yakin bahawa
kita dapat berkenalan dan lebih memahami kebudayaan masing-masing.
Kesimpulannya, kita haruslah menyahut seruan Perdana Menteri untuk hidup
bersatu padu. Hal ini dikatakan demikian kerana semangat bersatu padu amat
penting untuk membina negara yang harmoni dan kukuh. Oleh sebab itu, tanpa
rakyat tiadalah negara. Rakyat haruslah berpegang teguh pada prinsip ke
bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni demi membentuk masyarakat
majmuk yang bersatu padu. Malaysia Boleh!
Subscribe to:
Posts (Atom)